Sunday, April 05, 2009

Dunia Cinta Jasmin..(bahagian2)


“Kau gila ke? Kalau Amy Maisara tahu tentang hal kau dan Luqman, mampus kena serang.”

Aku memandang Nadeera dengan perasaan bimbang.


“Aku tak ada pilihan. Kau sendiri pernah tengok bagaimana dia mempergunakan Faiz Ilham."


“Itu lelaki. Takkan dengan pelajar perempuan pun dia sanggup mengugut juga?”


“Kau tak tengok mukanya. Aku sendiri gerun sebenarnya. Melihat air mukanya, aku berani jamin dia tidak berbohong. Dia mampu buat apa yang dikatakannya. Lagipun, sudah 4 hari kejadian itu berlaku. Aku rasa dia pasti akan terlupa tentang hal itu.”


“Kau benar-benar yakin ke, Min? Aku rasa kau salah.”


Aku memandang Nadeera kehairanan. Pandangannya tidak berkalih sebaliknya tajam memandang ke hadapan. Mulutnya muncung mengunjukkan sesuatu di hadapan. Aku menoleh. Luqman! Lelaki itu sedang makan bersama rakan-rakannya. Sepincing pun dia tidak memandang ke arah kami.


“Dia tak tengok kita. Kau buat-buat tak nampak aje. Jangan ambil peduli sangat, “ ujarku separuh berbisik.


Risau sekiranya tingkahlaku Nadeera akan menyebabkan Luqman perasan tentang kewujudan kami di situ. Perlahan-lahan aku menarik tangan Nadeera beredar dari situ dengan segera. Namun baru beberapa langkah kami menapak, telefon bimbitku tiba-tiba berbunyi. Aku menggapai telefon di dalam beg sekolah. Nombor pemanggil tersebut tidak dapat dikenal pasti. Aku memandang wajah Nadeera.


“Jawab aje lah. Mungkin babah kau. Dia kan selalu call.”


Tak mungkin. Babah selalu mengguna telefon bimbitnya. Dia tidak pernah mengguna telefon awam atau telefon pejabat. Dalam aku berkira-kira untuk menjawab, deringan telefon bimbitku terus terhenti. Seketika kemudian, satu pesanan ringkas masuk.

Anonymous: Kenapa tak angkat? Jangan cuba nak lari. Tunggu Luq tepi tangga Perpustakaan. Seorang. Nanti Luq datang.


Luqman! Bagaimana dia tahu nombor telefon bimbitku? Aku memandang Nadeera sambil mengunjukkan telefon bimbitku. Nadeera membaca pesanan tersebut sekali lagi dengan perlahan.


“Mampus aku Nad.”


“Min, tenang ya. Pucatnya muka kau. Macam nampak hantu.”


“Macam mana aku nak bertenang Nad. Dia mesti buli aku sungguh-sungguh. Menyesal aku balik lewat hari tu. Menyesal sungguh. Kalaulah aku tak merajuk hari tu, tentu perkara ni takkan berlaku. Aku pasti tak akan terikat dengan janji gila si samseng tu.”


Aku dah mula rasa seperti hendak menangis.


“Min, sabar. Sabar banyak-banyak. Nak menyesal sekarang pun dah tak guna. Apa kata kau ikut jer arahan dia. Kau nak aku temankan?”


Aku menggelengkan kepala.


“Tak apa. Kau balik lah dahulu. Dia suruh aku tunggu seorang diri. Kalau apa-apa hal nanti, aku hubungi kau.”


“Baiklah. Tapi jangan lupa hubungi aku, walau apa-apa pun yang terjadi.”


Aku mengangguk. Dengan lemah aku melangkah perlahan menuju ke arah tangga yang berhampiran dengan perpustakaan. Aku melabuhkan punggungku di atas tangga. Kebiasaannya tangga tersebut diguna oleh kakitangan pejabat sekolah. Di waktu sudah menginjak ke pukul 6.00 petang, suasana di situ semakin lenggang dan sunyi kerana kakitangan pejabat sekolah sudah lama pulang.


“Kau ni memang suka duduk atas tangga. Nak jadi minah tangga ke?”


Tersentak aku apabila mendengar suara dari belakang. Aku menoleh. Luqman berdiri betul-betul di belakangku. Hujung kasutnya hampir mengenai belakang baju kurung sekolahku. Aku pantas berdiri. Mengibas-ngibas belakang bajuku.


“Saya jadi minah tangga pun sebab awak. Dah berakar punggung saya tunggu awak tau. Dan lagi satu, awak ni tak reti nak bagi salam ke? Nasib baik saya tak ada sakit lemah jantung,” marahku kembali.


“Suka hati akulah nak datang masa bila pun. Ada aku cakap pukul berapa tunggu di sini? Kau tu yang beria-ia nak tunggu aku. Kau dah rindu kat aku ke? Kenapa dah tumbuh akar ke kat punggung kau tu? Mari sini aku tengok,” tangannya pantas memusing tubuhku. Kasar.


“Hei, sakitlah,” jeritku sambil menampar tangannya. Lelaki itu tersentak.


“Dah pandai melawan ya?” Matanya tajam merenungku.


“Awak ni kasar lah. Saya bukan patung. Sakit tau. Tak boleh ke awak berlembut sikit dengan saya?”



“Habis, ni apa?”
Lelaki itu mengunjukkan lengannya. Merah. Aku terkebil-kebil. Takkan bekas aku tampar tadi?


“Err, tindakan refleks saya agaknya. Maaf, saya tak sengaja. Kuat sangat ke saya tampar tadi? Sakit?” soalku sambil cuba menyentuh lengannya. Kulitnya yang cerah mula membiru.


“Awak nak buat apa? Nak cium ke?”


Aku tersentak. Tanganku terus melepaskan pegangan pada lengannya.


“Awak suruh saya tunggu di sini, nak buat apa sebenarnya? Nak tunjuk tangan awak yang sakit tu aja ke? Kalau dikira-kira, awak lebih banyak berkasar dengan saya. Ni, pergelangan tangan saya ni, masih berbekas lagi tau. Sebab awak tau,” ujarku cuba menutup kegugupanku.


“Habis tu, kau nak aku cium kau?”


Ujarnya sambil mendekatkan dirinya dengan tubuhku. Aku mengetap bibir. Sia-sia cakap dengan lelaki ni. Ada sahaja kata-kataku yang ditingkah dan ia menyakitkan hatiku.


“Kenapa awak ni? Awak nak jumpa saya sekadar nak menyakitkan hati saya. Apa salah saya pada awak?”


Soalku masih berlembut. Masih cuba menahan rasa. Beginikah tingkahlaku lelaki yang selalu aku minati? Menyakitkan hati. Lelaki itu masih merenungku tajam. Aku sekadar memandang sekilas sebelum mengalihkan pandangan ke hadapan. Kelihatan sesusuk tubuh mula menghampiri kami. Amy Maisara! Aku mengeluh. Fahamlah aku kenapa tingkahlakunya kasar terhadapku. Pasti kerana perempuan itu dan aku menjadi mangsa dia melepaskan amarahnya.


“Min balik dulu. Kekasih awak dah sampai.”


Aku membelok ke arah jalan ke kantin sekolah. Mengguna jalan jauh menuju ke pintu pagar utama sekolah. Sengaja aku mengelak dari bertembung dengan teman wanitanya. Aku tak mahu sesiapa pun tahu tentang perkenalanku dengan Luqman. Hanya Nadeera sahaja yang tahu tentang hal ini. Tetapi kalau Luqman nak menghebohkan perkara ini kepada orang lain terpulanglah padanya. Itu haknya. Aku sekali-kali tidak akan membicarakan hal ini kepada sesiapa.


Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Sambil melangkah melepasi pagar sekolah, aku menyeluk tangan ke dalam beg sekolah. Mencapai telefon bimbit dan kemudiannya memandang ke arah skrin telefon. Hanya nombor telefon. Tiada nama pemanggil.


“Hello.”


“Siapa suruh kau balik?” berdesing telingaku mendengar jeritannya. Dia ni memang tak reti nak bagi salam ke? Aku mengetap bibir. Geramnya aku!


“Kekasih awak dah sampai, saya balik lah. Buat apa nak tunggu lagi.”


“Ada aku suruh kau balik ke?”


“Err..tak.”


“Kau tunggu di situ. Kejap lagi aku datang.”


“Min taknak. Dah lewat petang ni. Nanti Ayah Long cari.”


“Kau tunggu jer kat situ. Aku datang.”


“Min nak baliklah. Dah gelap ni.”


“Kau ni faham Bahasa Melayu ke tak? Tunggu di situ.”


Talian diputuskan. Aku mengeluh. Apa lagi yang lelaki itu mahu? Akhirnya aku memutuskan untuk berpatah balik. Tapi aku hanya menunggu di kantin sekolah. Sunyi. Kawasan sekolah juga sudah lengang. Hampir sejam aku menunggu, tapi masih belum nampak bayang lelaki itu akan datang. Aku mengeluh. Sia-sia sahaja aku menunggu. Masaku terbuang begitu sahaja. Aku pantas mencempung beg galas ku. Letih benar rasanya. Letih badan. Letih fikiran. Letih emosi. Mujur pintu pagar hadapan sekolah masih belum berkunci.


Tritt... Satu pesanan ringkas ku terima.
Nad : Jasmin, kau kat mana? Dah balik ke belum?


Aku belum balik lagi, Nad. Aku masih di sekolah. Aku berkira-kira nak menelefon Nad apabila tiba-tiba guruh berdentum di langit. Aku terpaku seketika. Tidak menyangka aku masih di luar sedangkan bila-bila masa sahaja lagi hujan pasti turun.


Tritt...satu lagi pesanan ringkas masuk. Aku memandang skrin telefon.
Nad: Kenapa tak balik lagi? Dah lewat ni. Hujan lebat kat rumah aku ni. Kat sana tak hujan ke?


Tatkala itu hujan mula turun renyai-renyai. Aku berlari-lari anak menuju ke arah perhentian bas yang berdekatan pintu pagar sekolah. Sebaik sahaja kaki menjejak lantai perhentian bas, hujan yang turun mencurah semakin lebat. Aku terkedu. Tak mampu bergerak ke mana-mana lagi. Aku sudah terperangkap di situ. Terasa seperti hendak menangis. Perlukah aku mengikut lagi perjanjianku dengannya? Sesekali sinaran kilat terpancar di langit. Aku terpejam beberapa ketika. Perlahan aku mengesot duduk sambil memeluk lutut di atas kerusi. Suasana sejuk mula mencengkam tubuh. Sesekali tubuhku menggigil apabila air hujan bertempias masuk mengenai tubuhku. Hari semakin gelap. Ditambah pula dengan awan hitam yang membawa hujan. Langsung tiada cahaya di tempat aku berteduh itu. Hatiku semakin sebak. Kalaulah babah ada di sini, tentu dia akan datang mencariku. Tapi siapa yang akan membantuku sekarang? Aku mengeluarkan telefon bimbitku. Ingin membalas pesanan Nadeera sebentar tadi. Sebaik sahaja terpandang skrin telefon, aku hampa. Telefon bimbitku kehabisan bateri. Malang sungguh nasibku. Aku menyebamkan wajahku di antara dua lututku. Sedih. Takut. Letih. Semua rasa bersatu. Bingung menghadapi perasaan ini, aku membiarkan air mata mengalir laju. Aku tak biasa dalam keadaan begini. Babah! Desis hatiku, pilu. Lama aku berkeadaan begitu, sehinggakan aku tak sedar, aku tertidur di atas kerusi perhentian bas tersebut.


bersambung...

No comments:

Post a Comment

Mari berhemoi dengan Suhana Shahril

Followers

Kami sudah ber-6... ^__^

Kami sudah ber-6... ^__^